Pada 9 hingga 10 Februari 2026, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menganjurkan satu bengkel libat urus bersama pemegang taruh industri yang dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Keselamatan Tapak Bina Ybrs.Ir Zamzurin Bin Maarof. Bengkel ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pengilang, pengedar, pusat latihan perancah, serta wakil-wakil industri yang berkaitan.
Objektif utama bengkel tersebut adalah untuk membincangkan hala tuju serta pembangunan silibus yang bersesuaian bagi kursus perancah pada masa hadapan. Perbincangan merangkumi beberapa kategori utama perancah, iaitu perancah kerangka, perancah sistem, perancah tiub dan kelengkapan, serta perancah menara akses bergerak. Tumpuan turut diberikan kepada keperluan kompetensi bagi tiga peranan kritikal dalam industri, iaitu pemasang, pemeriksa, dan penyelia perancah.


Antara perkara penting yang dibangkitkan adalah pendekatan Malaysia dalam pembangunan piawaian dan bahan rujukan teknikal. Malaysia tidak mengkhususkan atau mengguna pakai sepenuhnya mana-mana buku piawaian antarabangsa tertentu. Sebaliknya, pendekatan yang lebih terbuka diamalkan dengan merujuk kepada pelbagai standard yang diiktiraf, seperti Malaysia Standards, British Standards, Australian Standards, piawaian ISO, serta rujukan teknikal lain yang relevan. Pendekatan ini bertujuan memastikan garis panduan yang dibangunkan lebih praktikal, adaptif, dan selaras dengan keperluan serta realiti operasi industri perancah di Malaysia.
Secara keseluruhannya, bengkel tersebut telah berlangsung dengan lancar dalam suasana perbincangan yang konstruktif dan profesional. Diharapkan segala pandangan, cadangan, dan input yang dikemukakan oleh para peserta akan dipertimbangkan secara positif demi memperkukuh tahap keselamatan, kualiti latihan, dan amalan terbaik dalam industri perancah negara.


Bengkel ini turut dihadiri oleh Presiden NASLEM bersama beberapa ahli persatuan, yang telah memberikan pandangan serta cadangan strategik berdasarkan pengalaman dan kepakaran industri. Kehadiran wakil NASLEM mencerminkan komitmen berterusan persatuan dalam menyokong inisiatif penambahbaikan standard, latihan, dan kompetensi dalam sektor perancah di Malaysia.



